Masalah Duit Tak Cukup... caranya?

Oleh: Irfan Khairi

Pernahkah anda mengalaminya? Satu keadaan yang menakutkan apabila pendapatan yang kita perolehi tidak cukup untuk membayar perbelanjaan dari bulan ke bulan. Duit yang masuk tidak banyak, tetapi berbagai bil pula tiba dan bertambah di rumah. Tak cukup dengan itu, pemiutang juga sedang memberi tekanan meminta wang pinjaman. Walaupun anda sudah cuba berjimat, namun duit masih tidak cukup!

Bukan sahaja menakutkan, situasi sebegini juga membawa kepada stress yang berlanjutan. Sedihnya, ramai yang di dalam keadaan sedemikian. Tanpa ditangani, ia boleh mengakibatkan muflis. Namun, muflis bukanlah satu jalan mudah untuk menyelesaikan segala masalah. 

Saya akui, keadaan tidak cukup duit bukan segala-galanya berpunca dari kesilapan seseorang itu. Adakalanya ia terjadi akibat kemalangan, sakit, kecacatan, tempat kerja tutup, keadaan keluarga, ditipu dan berbagai lagi sebab. Namun begitu, tanggungjawab tetap perlu dipikul oleh diri sendiri dalam menangani keadaan yang penuh cabaran ini. Sememangnya sukar, tetapi terpaksa juga lakukan sesuatu dan tiada guna hanya membiarkan keadaan menjadi lebih teruk.

Langkah pertama adalah untuk mencari pendapatan yang lebih. Mungkin mencari kerja tambahan secara separuh masa. Tanya pada majikan anda sama ada terdapat kerja lebih yang boleh anda lakukan secara lebih masa. Terdapat banyak kerja-kerja sambilan yang ditawarkan. Ketepikan ego dalam terlalu memilih kerja sambilan. Pepatah Inggeris berbunyi "Beggers can't be choosers" (pengemis tidak boleh terlalu memilih).

Satu ketika dulu ketika saya masih belajar dan menghadapi masalah tidak cukup wang, saya bekerja sebagai tukang cuci untuk mendapat wang tambahan. Zaman Internet ini, terdapat juga pelbagai peluang pekerjaan untuk mendapat pendapatan tambahan yang boleh dilakukan daripada rumah. Selain dari itu, memulakan perniagaan kecil-kecilan juga merupakan satu pilihan yang bijak.

Langkah seterusnya adalah jual apa yang anda tidak perlu. Mungkin di rumah anda terdapat perabot atau barangan yang anda tidak gunakan dan hanya mengumpul habuk? Inilah masanya untuk menjual dan mendapat wang dari barangan tersebut. Bukan sahaja membantu memperolehi pendapatan, tetapi juga membantu menambahkan ruang di rumah anda.

Sekiranya melakukan yang diatas masih tidak mencukupi, tiba masanya untuk ubah gaya hidup dalam mengurangkan perbelanjaan besar anda. Keputusan yang lebih besar perlu dilakukan seperti berpindah ke rumah yang lebih kecil dan murah di dalam kemampuan anda. Sekiranya kos kereta adalah tinggi, mungkin tiba masanya beralih kepada membawa motor atau menggunakan pengangkutan awam buat sementara. Seperti yang dikatakan, ketepikan ego dalam menangani masalah kewangan duit tak cukup.

Comments